• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

MPKKP Jangan Terburu-Buru - Dr Azman

Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 9 Januari - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) dinasihatkan agar lebih teliti dan tidak terburu-buru dalam apa jua tindakan yang melibatkan kemaslahatan ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, saranan itu dibuat berikutan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah menerima surat daripada MPKKP yang mengarahkan agar dewan dan balai raya diserahkan kepada mereka.

“Beberapa MPKK memaklumkan bahawa mereka menerima surat daripada MPKKP yang mengarahkan agar jawatankuasa MPKK keluar dari beberapa premis yang didakwa dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sukacita saya nasihatkan pimpinan MPKKP supaya jangan terburu-buru bertindak dan perlu meneliti terlebih dahulu latar belakang pembinaan premis dan infrastruktur yang dimaksudkan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan rasminya semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi memaklumkan, semua data serta maklumat telah diteliti dan didapati  premis-premis yang dimaksudkan itu terletak di atas tanah milik Kerajaan Terengganu.

Jelasnya, walaupun bangunan dibina dengan dana Kerajaan Persekutuan tetapi pemilik tanah lebih berhak kepada premis yang dituntut.

“Di sinilah kita perlu cermat dalam membuat tuntutan dan keputusan kerana tuan tanah mempunyai lebih hak kepada bangunan yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri.

“Janganlah bertindak tanpa usul periksa yang boleh mengeruhkan keadaan dalam masyarakat,” tegasnya.




Tag: