• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

MRTM 2022 : Terengganu Dipilih Kerana Dominan Sambut Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memilih negeri Terengganu bagi Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 dengan kerjasama Kerajaan negeri setelah mengambil kira populasi penduduk yang dominan meraikan sambutannya selama ini.

Menurut MOTAC, program yang diadakan selama tiga hari bermula pada 19 hingga 21 Mei bertempat di Dataran Drawbridge itu juga bermatlamat untuk mendekatkan masyarakat umum khususnya Keluarga Malaysia di Terengganu dengan kegiatan seni, budaya dan pelancongan.

"Serta membuka ruang kembali untuk menjana ekonomi negara bagi penggiat industri di negeri ini. Ini merupakan penganjuran kali pertama di negeri Pantai Timur, khususnya di Terengganu. pemilihannya adalah kerana dikelilingi lokasi-lokasi utama pelancong serta kaya dengan aktiviti kesenian, budaya dan adat tradisional masyarakat tempatan.

"Di samping itu juga MOTAC dalam usaha untuk mempromosikan negeri Terengganu dalam aspek kebudayaan, keseniaan dan pelancongan,"ujarnya melalui suatu kenyataan.

Ujar MOTAC, Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Rewang Raya, Kenduri Rakyat, Pertandingan Lumba Perahu, Himpunan Keris, Gateh Busana, Kambing Cantik, Pertandingan Ayam Ratu, Zoo Kampung, Wau Gegok Damak, Tok Dekor Jangok, Tewah Ngail, Gasing Terbang, Bot Berhias dan Persembahan Kesenian.

"Turut akan berlangsung ialah Bengkel dan Kelas Masakan Warisan, Demonstrasi Makanan Warisan, ceramah agama 'Syawal Disambut Dengan Penuh Kesyukuran dan Kegembiraan' serta pertandingan memancing dengan tema memancing sambil mengenakan pemakaian kain pelikat dan semutar beramai-ramai.

"Acara kemuncak bagi program ini ialah Majlis Perasmina yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Mei. Oleh itu seluruh Keluarga Malaysia yang lengkap vaksinasi dijemput hadir ke program ini  dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan," ujar kenyataan itu.