• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

MSNT Sedia Khairat Kematian Buat Wan Muhammad Haikal

Foto: Gambar hiasan daripada MSNT

KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) melalui Bahagian Kebajikan Atlet telah menyediakan bantuan khairat kematian berjumlah RM2,000 sebagai bantuan awal dan akan diserahkan kepada keluarga pesilat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Allahyarham Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, yang meninggal dunia, malam tadi.

Selain itu, terdapat skim bantuan lain termasuk perlindungan insuran secara berkelompok yang disediakan MSNT bagi membantu keluarga Allahyarham.

Kenyataan media dikeluarkan MSNT hari ini, turut memaklumkan bahawa laporan perubatan yang baru diterima mengesahkan kematian atlet tersebut berpunca daripada pendarahan dalam kepala (diffuse subarachnoid heamorrhage).

"Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum ini. MSNT masih menunggu laporan penuh kronologi kes dan akan membuat penelitian terperinci memandangkan ia adalah kes pertama yang berlaku dalam sukan pencak silat.

"Manakala, sebagaimana dimaklumkan Exco Sukan Terengganu, pengurusan jenazah dan urusan membawa pulang akan duruskan MSNT dengan bantuan Majlis Sukan Negeri Sembilan," jelas kenyataan tersebut.

Allahyarham Wan Muhammad Haikal merupakan salah seorang atlet sasaran pingat bagi SUKMA 2024 dan dijadualkan bertanding dalam kategori Putra I (85-90 kg).

Petang semalam, Allahyarham dilaporkan mengalami kecederaan semasa menyertai Kejuaraan Pencak Silat Pra SUKMA Jemputan Kebangsaan Negeri Sembilan yang sedang berlangsung di Seremban.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, awal pagi tadi.

 


Tag: