• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Murid Pra, Tahun 1 Dan 2 Mula Sekolah Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Seramai 54,612 murid prasekolah, Tahun 1 dan 2 memulakan sesi persekolahan hari ini bagi sesi 2021 di 352 buah sekolah rendah seluruh Terengganu.

Jumlah tersebut membabitkan seramai 10,664 murid prasekolah, 22,348 murid Tahun 1 serta 21,600 murid Tahun 2 bagi meneruskan pembelajaran mereka setelah hampir dua bulan tiada pembelajaran secara bersemuka dibuat pada tahun ini.

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lalu, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).

Tidak mengambil mudah aspek SOP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.

Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac, manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri lain.

Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.


Tag: