• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

Murid Tahun Satu Ditemui Mati Lemas



Oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 22 September - Seorang murid tahun satu ditemui mati di Sungai Kuala Ibai petang tadi.

Faqih Abdul Rahman Mohd Amran, 7, ditemukan lemas kira-kira pukul 6.30 petang selepas mandi bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba Daerah Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.55 petang.

"Pihak bomba telah mengadakan operasi menyelam dan mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa disyaki lemas," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita di Muara Kuala Ibai, di sini sebentar tadi.
Muhamad Azhar.
Sementara itu, menurut saksi kejadian, Muhamad Azhar Mohammad, 30, dia yang sedang berbual bersama rakannya dikejutkan dengan kehadiran rakan mangsa yang meminta tolong.

"Dia memberitahu dua kawannya lemas, saya bergegas ke lokasi mereka dan berusaha menyelamatkan mangsa, namun hanya sempat menyelamatkan seorang daripada mereka.

"Ketika itu, budak yang terselamat berada dalam keadaan lemah sementara rakan yang lain menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.


Tag: