• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Musafir Maulid Telusuri Muzium Terengganu

Memanah merupakan antara tugasan yang diterima peserta. Foto - Che Ku Zuhilmi Che Ku Shamsuddin.
KUALA TERENGGANU, 18 November - Seramai 450 peserta Konvoi Musafir Maulid berhimpun di Muzium Negeri Terengganu sempena sambutan Maulidul Rasul, semalam.

Konvoi bermula dari kesemua lapan daerah itu menampilkan kumpulan bermotosikal dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang tiba sejak jam 11:00 pagi.

Para peserta kemudian diarahkan untuk menyelesaikan perlumbaan 'Memburu Khazanah' yang disediakan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT).

Dalam perlumbaan ini, peserta terpaksa melakukan beberapa tugasan iaitu memanah, membuat serunai tradisional daripada daun nyiur dan menyelesaikan kuiz berkaitan sejarah Islam dan Terengganu.

Zakaria sambut baik acara Musafir Maulid.
Penolong Pengarah LMNT, Zakaria Abdul Hadi merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) kerana memilih muzium sebagai salah satu lokasi Musafir Maulid.

"Sempena Maulidur Rasul, setiap tahun pihak LMNT mengadakan pameran berkaitan maulid nabi dan sejarah Islam Terengganu.

"Jadi, hari ini peserta diberikan tugasan meneliti pameran tersebut dan juga tugasan menyiapkan permainan tradisi yang semakin dilupakan iaitu 'serunai nyiur' sebagai tambahan," katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak program seperti itu diadakan di muzium.

"Ini dapat membangkitkan nostalgia generasi dahulu kepada generasi masa kini selain memberi pendedahan pelbagai perkara berkaitan sejarah kepada mereka," katanya.

Acara sambutan Maulidul Rasul akan menutup tirai pada 20 November dengan perarakan dan pengisian gilang-gemilang di ibu negeri itu.




Tag: