Jalur Gemilang
Berita :
MyWinHR Platform Perkasa Modal Insan Industri Air
MyWinHR Platform Perkasa Modal Insan Industri Air
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
40

KUALA TERENGGANU, 29 September – Kecemerlangan sumber manusia Syarikat Air Terengganu (SATU) bukan sekadar isu dalaman organisasi sebaliknya mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan lebih 1.2 juta rakyat Terengganu yang bergantung kepada kualiti dan keberterusan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, tenaga kerja yang kompeten, bersedia dan stabil penting bagi memastikan bekalan air lebih terjamin, aduan ditangani dengan pantas serta perkhidmatan kepada rakyat terus dipertingkat.

“Justeru, kecemerlangan sumber manusia SATU bukan sekadar isu dalaman organisasi tetapi mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan pengguna.

“Tenaga kerja yang kompeten, bersedia dan stabil bermakna bekalan air yang lebih terjamin, aduan yang lebih pantas ditangani dan perkhidmatan yang lebih cekap kepada rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Majlis Perasmian Water Industry Human Resources (MyWinHR) 2026 Anjuran Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) di Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, MyWinHR bukan sekadar mesyuarat atau persidangan tahunan, sebaliknya platform strategik bagi pengamal sumber manusia dalam industri air berkongsi pengalaman, membuat ‘benchmark’ serta mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran modal insan yang semakin kompleks.

Beliau berkata, dunia pekerjaan kini mengalami transformasi pantas didorong perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, perubahan landskap perundangan dan perubahan ekspektasi tenaga kerja.

“Persoalan bagaimana kita menarik bakat yang betul, mengekalkan pekerja mahir, meningkatkan produktiviti dan menyediakan tenaga kerja untuk keperluan masa hadapan wajar menjadi agenda utama perbincangan,” katanya.

Dalam pada itu Ariffin berkata, persaingan mendapatkan bakat berkemahiran semakin sengit susulan kadar pengangguran yang rendah selain isu ketidakpadanan kemahiran atau ‘skills mismatch’ yang turut menjadi cabaran kepada industri.

Sehubungan itu katanya, organisasi termasuk SATU perlu lebih proaktif membangunkan bakat sendiri menerusi usaha ‘reskilling’,‘upskilling’ dan pembangunan kompetensi secara berterusan.

“Kerajaan negeri, menerusi jawatankuasa yang saya pengerusikan akan terus menyokong usaha latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan penggerakan koperasi bagi memperkukuh ekosistem modal insan negeri ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan perancangan penggantian bagi kompetensi kritikal SATU termasuk dalam kalangan jurutera, ‘chargeman’, juruteknik, pegawai governans dan kakitangan sokongan.

“Perancangan penggantian bagi kompetensi kritikal bukan lagi suatu pilihan sebaliknya suatu keperluan mutlak bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Ariffin turut menyambut baik penganjuran MyWinHR 2026 yang disifatkan sebagai ruang untuk perkongsian pengalaman, pembelajaran dan pelaksanaan amalan terbaik dalam industri.

Katanya, platform berkenaan mampu membuka ruang perbincangan mengenai pengurusan tenaga kerja pelbagai generasi, pengukuran produktiviti, pembangunan pemimpin masa depan serta kesan AI terhadap landskap pengurusan sumber manusia.

Dalam masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada SATU atas komitmen menjaga kualiti bekalan air kepada rakyat selain memberi perhatian terhadap kebajikan, keselamatan dan pembangunan warga kerjanya.

“Saya berharap MyWinHR 2026 akan menjadi platform yang bermanfaat bukan sekadar tempat bertemu, tetapi juga tempat lahirnya penyelesaian baharu bagi memperkukuh modal insan industri air negara,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan