• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Nadia Terima Alat Bernafas Baharu

KEMAMAN, 2 Disember - Sebanyak RM19,500 telah diperuntukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu kepada adik Nurul Nadia Nahyuddin, 28, bagi pembelian sebuah alat bantuan pernafasan mudah alih.

Nadia yang mengalami pendarahan paru-paru dan telah menggunakan alat bantuan pernafasan sejak berusia 12 tahun.

Nadia ketika ditemui media bersyukur ke hadrat Ilahi serta mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang membantu beliau mendapatkan bantuan itu.

"Ia dapat memudahkan urusan saya untuk menggunakannya jika ingin ke hospital untuk menerima rawatan susulan," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan alat bantuan pernafasan mudah alih yang disampaikan oleh ADUN Cukai yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di rumahnya di Kampung Gong Pauh, semalam.

Turut bersama dalam penyerahan sumbangan itu ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd Noorhadi Mohd Yusof.

Dia sebelum ini mengalami kesukaran untuk ke hospital kerana perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan, namun mempunyai alat bantuan bantuan pernafasan elektrik yang hanya boleh digunakan di rumah.

"Saya sebelum ini juga mempunyai beberapa alat bantuan pernafasan ini namun ianya telah rosak,"  ujarnya.

Dalam pada itu, Nadia memaklumkan turut menerima sumbangan kewangan daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya.

Sumbangan yang diberikan itu akan digunakan untuk kos penyelenggaraan mesin dan juga kos perubatan.

 

 

 


Tag: