• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

NADMA-JKM Agih Kit Makanan Bantu Mangsa Banjir


HULU TERENGGANU, 14 Disember - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu  mengagihkan Kit Makanan Permulaan (KMP) kepada 392 keluarga mangsa banjir gelombang pertama di daerah ini.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kebajikan Produktif dan Komuniti JKM negeri, Ghazali Awang berkata, ianya sebagai langkah awal untuk memastikan kebajikan mangsa terbela dalam menghadapi tekanan akibat banjir yang melanda.

Menurutnya, kit ini diisi dengan produk-produk berjenama Agromas yang sedia untuk dimakan segera tanpa perlu dimasak.

“Ia diberikan kepada setiap keluarga menerusi ketua isi rumah masing-masing sebelum mereka pulang ke rumah.

"Keperluan asas ini adalah sesuatu yang amat bernilai kepada mangsa, ia dapat memberi keselesaan kepada mangsa dan keluarga sepanjang operasi membersih rumah dari penyediaan makanan segera yang cepat disediakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu, di sini semalam.

Seramai 69 keluarga menerima bantuan KMP dan merupakan antara yang terlibat dengan banjir yang melanda kawasan berkenaan sejak kelmarin.

Turut hadir, Pegawai JKM Hulu Terengganu, Norazmy Adenan.

Menurut Ghazali, antara produk yang dibekalkan ialah biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman kopi 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis, serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik.

Untuk rekod, NADMA menyediakan sebanyak 50,000 KMP bagi mangsa bencana terutama ketika musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri tahun ini.

NADMA sudah membekalkan sebanyak 67,837 kit itu yang bernilai RM4.3 juta sepanjang tempoh empat tahun sehingga tahun lalu (2014 hingga 2017).

Semua makanan  boleh bertahan selama setahun dan jumlah 50,000 kit yang ditambah tahun ini berikutan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban mangsa bencana.


Tag: