KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Terengganu menyasarkan kedatangan seramai sembilan juta pelawat pada tahun 2026 sebagai persediaan menyeluruh bagi memanfaatkan sepenuhnya Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan momentum positif prestasi pelancongan negeri yang terus menunjukkan peningkatan.
"Berpaksikan semua inisiatif ini kerajaan negeri menetapkan sasaran sebanyak 9 juta pelawat bagi tahun 2026 sebagai penanda aras kesiapsiagaan Terengganu untuk memanfaatkan sepenuhnya tahun melawat Malaysia 2026," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Anugerah Sri Iman 2025 di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya, sehingga Oktober 2025, Terengganu merekodkan kedatangan 8.512 juta pengunjung, sekali gus membuktikan keyakinan pelancong terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh negeri berkenaan.
"Pencapaian ini adalah manifestasi keyakinan pelancong terhadap produk, layanan dan keaslian yang ditawarkan oleh negeri ini," ujarnya.
Dalam usaha memperkukuh hala tuju pelancongan negeri, kerajaan negeri turut memperkenalkan slogan baharu pelancongan Terengganu, iaitu 'True Terengganu, The Real Unique Experience'.
"Slogan ini melambangkan keaslian budaya, keunikan alam dan pengalaman sebenar yang ditawarkan oleh negeri Terengganu dalam kerangka patuh syariah kepada Muslim dan mesra Muslim kepada bukan Muslim," jelasnya.
Tambah beliau, Terengganu tidak melihat Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai kempen bermusim, sebaliknya sebagai platform strategik jangka panjang yang memberi manfaat kepada ekonomi rakyat, kelestarian alam sekitar dan pemerkasaan komuniti setempat selain memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan patuh syariah.