• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Nelayan Melecur Badan Terkena Air Enjin

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 26 September - Seorang nelayan melecur badan apabila beliau cuba membetulkan saluran keluar air enjin motor bot yang tercabut klipnya.

Menceritakan kejadian tragis itu yang berlaku pada Isnin, 20 September, Rosmadi Rahim, 47, berkata, ketika dia sedang membaiki saluran air tersebut tiba-tiba air yang panas itu memancut ke arahnya. 

"Terkena tangan kanan dan bahagia dada, kulit pun jadi bergelembung, masa berlaku atas bot masa di tengah laut, saya hanya mampu menahan kesakitan kerana perjalanan untuk balik ke darat mengambil masa selama tiga jam, sampai pula pukul tujuh petang, klinik sudah tutup.

"Dua hari jugak tadah besen, sebab air bisa keluar tidak berhenti, walaupun sudah sudah enam hari berlaku, air gelembung masih lagi keluar," ceritanya yang mendapat rawatan di klinik swasta. 

Rosmadi memberitahu demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Bidara sewaktu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang mengunjunginya semalam. 

Turut sama dalam kunjungan tersebut, Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pas Dungun, Zakaria Tahir dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Teluk Bidara, Mohd Affendi Ngah. 

Mereka turut menyampaikan sumbangan sebagai usaha untuk meringankan beban kehidupan bapa kepada empat orang anak itu. 

Menurutnya, kebiasaannya bot tersebut akan berada di laut empat malam untuk menangkap ikan tetapi disebabkan kejadian yang menimpanya itu, bot tersebut terpaksa bergegas pulang. 

"Kalau kira ada dua tiga malam lagi, tetapi sudah jadi begini, mereka terpaksa balik hantar saya untuk mendapatkan rawatan," jelasnya.


Tag: