• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Newwor @ KBT Angkat Nilai Warisan Terengganu di Persada Antarabangsa

KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Program 'Newwor @ KBT' yang diadakan bermula 30 Mei sehingga 2 Jun di Kampung Budaya Terengganu mampu memartabat dan menyemarakkan nilai warisan Terengganu ke persada antarabangsa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, melalui program tersebut ia juga memberi galakan kepada generasi muda bagi mengenali, mempelajari serta mewarisi kebudayaan tersebut.

"Seterusnya menjalinkan kesinambungan warisan supaya tidak lapuk ditelan zaman dalam arus pemodenan hari ini.

"Kanak-kanak dan remaja adalah penerus legasi kita. Jika kita tidak mengembangkan minat dalam kalangan anak muda terutamanya kanak-kanak, mereka akan menjadu dewasa yang tidak terdedah kepada seni budaya mereka sendiri.

"Justeru, saya menyeru kepada semua masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain tanpa mengira peringkat umur untuk hadir ke sini bagi mempelajari, merasai dan mencuba sendiri segala aktiviti seni dan budaya yang ada di sini antaranya permainan gasing, kaki hantu, gamelan dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan, di Kampung Budaya Terengganu, di sini, semalam. 

Turut hadir, Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Palms Garden Resort Sdn. Bhd, Alex Lee Yun Ping dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Azrul Hussein. 

Mengulas lebih lanjut katanya, penganjuran program berkenaan juga merupakan pakatan strategik antara agensi kerajaan negeri dan kerajaaan persekutuan serta pihak swasta. 

"Tahniah diucapkan kepada pihak Kampung Budaya Terengganu dan Palms Garden Resort Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaydia (MOTAC) dan Lembaga Muzium Negeri atas kejayaan menganjurkan program ini. 

"Ini akan mempromosikan lagi Kampung Budaya Terengganu sebagai sebuah muzium hidup bagi seni budaya dan warisan Negeri Terengganu. 

"Secara tidak langsung, program ini menjadi pemangkin bagi meransang perkembangan industri pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu," ujarnya. 

Menjelaskan penggunaan perkataan 'newwor' pada program itu katanya, ia merupakan dialek Teregganu yang membawa maksud bersiar-siar ataupun jalan-jalan. 

"Newwor @ KBT ini merupakan cara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun lepas yang menjadi sebuah acara bersiar-siar dari satu stesen ke stesen. 

"Terdiri daripada pelbagai jenis pameran, permainan, demonstrasi, persembahan dan jualan yang berlangsung di tapak program," katanya. 

 


Tag: