• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

NGO Hubung Kerajaan, Masyarakat


Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 16 September - Matlamat tidak mungkin boleh dicapai hanya bergantung kepada kerajaan, maka pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam masyarakat adalah penting dan berperanan besar sebagai penghubung antara rakyat dengan pihak kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peranan tersebut turut dimainkan pertubuhan Soka Gakkai Malaysia.

"SGM bukan sahaja menganjurkan banyak program kemasyarakatan, malah turut terlibat dalam menjayakan program kerajaan dan misi nasional termasuklah Perasmian temasya Sukan Komanwel 1998, perasmian Sukan SEA, program budaya dan citrawarna serta sambutan kemerdekaan di peringkat kebangsaan mahupun negeri.



"Adalah besar harapan kami agar SGM terus berusaha gigih dalam menyampaikan mesej keamanan khususnya berkaitan ancaman dan bahaya perseteruan senjata nuklear di dunia ini kepada masyarakat," katanya ketika ditemui dalam Majlis Flag-Off Acara Run For Peace 2019 di Dataran Shahbandar, Sabtu lalu.

Beliau turut berpendapat, kerjasama erat antara NGO dan kerajaan akan memberi peluang rakyat menyalurkan pandangan dan idea secara positif.



"Saya lihat Run For Peace ini bukan semata-mata program larian tetapi suatu perjuangan untuk merealisasikan keamanan dan komitmen untuk membebaskan dunia daripada acaman senjata nuklear," katanya.

Soka Gakkai Malaysia (SGM) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dengan matlamat menyumbang kepada kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran masyarakat melalui kebudayaan dan pendidikan.


Tag: