• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

NGO Yasmeen Bantu Keluarga Miskin Setiu

SETIU, 23 Mac - Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Yasmeen telah menyumbangkan barangan dapur kepada 62 orang golongan kurang berkemampuan di kawasan Setiu.

Menurut ketuanya, Rohani Ramli, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban dan memberi sokongan kepada golongan yang memerlukannya, terutamanya yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

"Sumbangan barang dapur seperti beras dan barangan keperluan harian lainnya dapat memberikan sokongan yang penting kepada mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Bantuan ini juga turut memberikan dorongan moral kepada golongan yang menerima, membuat mereka merasakan bahawa mereka tidak sendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Felda, Kg Rahmat, baru-baru ini.

Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof dan kakitangan i-MiTS DUN Langkap bersama qariah Masjid.

Justeru itu kata Rohani, dengan adanya sumbangan tersebut, diharapkan dapat memberi sedikit lega dan meningkatkan kualiti kehidupan golongan yang menerima bantuan.

Tambahnya, majlis diserikan lagi dengan kehadiran Mantan Senator Negeri Terengganu, Ustazah Nuridah Salleh.

Majlis tersebut juga diserikan dengan pelaksanaan solat sunat tasbih, bacaan Yasin, dan sesi munajat.


Tag: