• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Nilai Kajian 'Doping' UniSZA RM60 Ribu


Prof Dato' Dr Ahmad Zubaidi (tengah), Ustaz Wan Sukairi dan Muhammad Darul Najmi di Majlis Meraikan Atlet SUKMA XIX 2018 di Dewan Utama YPKT semalam.
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Universiti Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu (UniSZA) memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi membuat penyelidikan pemakanan sukan khusus untuk atlet angkat berat Terengganu sebagai satu usaha memasyarakatkan universiti itu di negeri ini.

Naib Cancelor universiti berkenaan, Profesor Dato' Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, untuk memajukan sukan Terengganu, kerajaan negeri perlu memastikan sistem pemakanan yang teratur bermula dari pemakanan keluarga.

"Pihak universiti telah menjemput atlet Terengganu datang ke fakulti untuk belajar menjadi chef sendiri.

"Apabila mereka sering diajar cara memasak dan menyediakan makanan, ia dikira sebagai permulaan, untuk kami (pihak UniSZA) meningkatkan penyelidikan pemakanan, apabila atlet-atlet angkat berat faham kenapa mereka perlu memakan makanan-makanan yang telah kami cadangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Atlet SUKMA XIX 2018 dan Pertukaran Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu di Dewan Utama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Jalan Sultan Omar di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Haji Ibnu Amin Busu.


Ustaz Wan Sukairi (kiri) menyampaikan insentif kepada salah seorang atlet cemerlang angkat berat SUKMA XIX 2018.
Menurut Profesor Dato' Dr Ahmad Zubaidi, kajian dibuat supaya atlet sukan angkat berat memahami keperluan pemakanan sukan yang patut diambil.

Katanya, dengan perjanjian itu, ia memberikan ruang secukupnya untuk Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan para penyelidik dari fakulti UniSZA untuk mencari formula-formula baharu bagi memastikan bidang pemakanan ada hubungan dengan aktiviti dan objektif pasukan di samping dapat menyesuaikan kajian dengan keadaan budaya pemakanan masyarakat negeri Terengganu.

"UniSZA mempunyai pakar-pakar dalam bidang sains, perubatan dan farmasi. Jadi pakar-pakar kami mampu untuk mengesan apakah jenis makanan yang mengandungi bahan-bahan terlarang bergantung kepada 'update' terbaru oleh Persatuan Doping Antarabangsa," jelasnya.

Menurutnya lagi, kajian UniSZA bertujuan bagi memastikan atlet Terengganu tidak mengambil makanan terlarat untuk 'doping' (pengambilan ubat atau makanan tambahan bagi menambah kecergasan atlet).

Sebelum itu, Majlis Pertukaran Perjanjian Kerjasama Kajian Pemakanan Sukan Angkat Berat Terengganu antara YPKT dan UniSZA berlangsung dengan jayanya.

Tag: