• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Nuridah Dipilih Semula Sebagai Ahli Dewan Negara Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini bersetuju memilih semula, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri berkenaan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan pelantikan beliau apabila Speaker DUN, Dato' Yahaya Ali mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara selepas terdapat kekosongan jawatan berkenaan.

“Semoga dengan penyertaan beliau sebagai mewakili negeri Terengganu dalam Dewan Negara akan dapat memberikan suatu sumbangan kepada agama, negara dan negeri," ujar Ahmad Samsuri pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Nuridah yang merupakan ibu kepada 10 orang anak dan lapan cucu mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Kuala Rompin.

Beliau yang juga berpendidikan dalam pengajian Ijazah Perubatan Islam Darusyifa’ dan Diploma Pendidikan Islam Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta berpengalaman dalam misi kemanusiaan ke Syria, Bangladesh, Myammar, German dan lain-lain.

Tambah lagi, beliau turut aktif dalam bidang politik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah Penguatkuasaan dan Ketua Dewan Muslimat Wilayah Persekutuan serta giat dalam pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).