Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KEMAMAN, 19 Jun - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah melancarkan operasi dua kren gantri baharu dan tali sawat (conveyor belt) di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman, dalam meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengendalian pelabuhan, baru-baru ini.
Pengurus Besar Kanan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, Ashari Mohammad berkata penyediaan insfrastruktur ini mengoptimumkan operasi pengangkutan kargo secara lebih lancar dari pelabuhan ke fasiliti kilang.
Menurutnya, tali sawat sepanjang 8.2 kilometer yang siap dipasang April lalu kini menghubungkan Pelabuhan Kemaman dengan kilang Eastern Steel Sdn Bhd ("ESSB").
“Dua kren baharu yang mula beroperasi pada 5 Mei 2024 dan dijangka meningkatkan kapasiti pelabuhan daripada 4 juta tan metrik ("MT") setahun kepada 7 juta MT setahun tersebut telah menunjukkan impak transformatif terhadap aktiviti pelabuhan, dengan pengendalian kargo tiga kali lebih tinggi daripada penggunaan kren kapal.
“Hasilnya, tempoh kapal berlabuh dapat dikurangkan sebanyak tiga kali ganda, sekali gus meningkatkan kapasiti pelabuhan, memendekkan turnaround time dan meningkatkan produktiviti keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kemajuan itu bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga meletakkan syarikat di landasan strategik untuk mencapai pertumbuhan dan memenuhi permintaan masa hadapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Haji Muhtar Suhaili menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat dan menekankan bahawa pencapaian tersebut adalah satu komponen kritikal dalam strategi pertumbuhan yang lebih meluas.
“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi yang dikongsi bersama dan ia pasti akan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan Kumpulan,”ujarnya lagi.
Dalam masa sama, EPIC Berhad mempunyai perancangan kukuh untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan bagi dimanfaatkan oleh pelanggan sedia ada dan baharu pada masa hadapan.
“Dijangka pemasangan empat lagi tambahan kren Level-Luffing di Dermaga Timur yang akan dijalankan dalam beberapa tahun mendatang.
“Kren-kren baharu ini akan meningkatkan keupayaan pengendalian pelabuhan kepada 12 juta MT setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan EPIC Berhad sebagai pemain terkemuka dalam industri,” tambah beliau.