KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memutuskan untuk menamatkan operasi jualan di kawasan KT Walk, Bandar Kuala Terengganu berkuat kuasa 1 Februari 2026.
Menurut kenyataan MBKT, keputusan tersebut diambil bagi membolehkan laluan berkenaan dibuka semula kepada pengguna jalan raya selain melancarkan akses orang ramai ke kemudahan perbankan di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, semua peniaga diminta menghentikan sebarang aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan selepas notis pemakluman dikeluarkan dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
MBKT berharap kerjasama penuh daripada semua pihak terlibat demi memastikan kelancaran pengurusan trafik serta keselesaan pengguna dan pengunjung di pusat bandar Kuala Terengganu.