• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Orang Awam Berjaya Halang Lelaki Terjun Jambatan

KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari Jambatan Sultan Mahmud di sini semalam berjaya dihalang oleh orang awam yang menggunakan jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, lelaki berusia 29 tahun itu telah diserahkan kepada pihaknya sebaik sahaja tiba di lokasi setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai pada jam 5.48 petang.

"Siasatan mendapati lelaki Melayu tersebut dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah peribadi. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.

"Kerta siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 kanun keseksaan iaitu cuba bunuh diri dan Sekyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya dalam suatu kenyataan rasminya, di sini, pada hari ini.

Mengulas lanjut katanya, lelaki berkenaan juga telah dihantar ke Hospital Sultanan Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 15 saat telah tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki berdiri di luar pengadang di tepi sebuah Jambatan di Kuala Terengganu dan telah disedari orang ramai yang melalui kawasan terbabit.