• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

'Outreach' Vaksin SK Seri Kasar Catat Suntikan Tertinggi

SETIU, 27 Jun - 'Outreach' Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kasar, Setiu merekodkan pencapaian tertinggi bagi negeri Terengganu.

Outreach PICK yang dilaksanakan pada semalam mencatatkan 1,109 suntikan dos pertama vaksin Sinovac kepada penduduk di sekitar kawasan pedalaman itu.

Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif berkata beliau amat berasa gembira dengan pencapaian program 'outreach' itu yang memperlihatkan kesungguhan orang kampung untuk bebas daripada Covid-19.

Rosli Latif (berbaju batik) bergambar bersama  Pegawai Kesihatan Daerah Setiu, Dr. Hanif (kanan)

"Kami mendapat satu pasukan kerja yang sangat berkesan dengan bantuan semua pihak termasuk daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat, Jabatan Amal Kawasan Setiu dan semua agensi kerajaan.

"Sekiranya kami menerima lagi bekalan vaksin, kami akan teruskan program seperti ini di kampung-kampung berjauhan dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Sungai Tarom.

"Setakat ini saya melihat  pendekatan 'outreach' ini adalah satu kaedah terbaik sesuai dengan sosiobudaya masyarakat di daerah Setiu kerana kita mempunyai masalah logistik," katanya lagi ketika ditemuramah di SK Seri Kasar petang tadi.

Seramai 2711 orang penduduk daerah Setiu telah menerima suntikan vaksin dos pertama melalui tiga program 'outreach' yang telah dijalankan di Setiu setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr. Haji Alias Razak turut hadir melihat perjalanan program imunisasi yang dijalankan.

 


Tag: