KUALA TERENGGANU, 26 November – ‘Oyen’ menjadi antara ‘penumpang istimewa’ yang dibawa keluar oleh pasukan penyelamat, pagi tadi dalam satu operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Paya Besar, Serada.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, kucing tersebut diselamatkan bersama pemiliknya sebelum mereka dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol kira-kira jam 10 pagi.
Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan kediaman penduduk dinaiki air sedalam 0.5 meter dan keadaan masih tidak menunjukkan tanda surut sehingga tengah hari.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Terengganu bergegas ke lokasi untuk membawa semua mangsa ke PPS bagi keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan jumlah keseluruhan mangsa banjir meningkat kepada 1,857 orang daripada 598 keluarga yang kini berlindung di 30 PPS di seluruh Terengganu.
Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, menjadikan enam daerah terjejas setakat ini termasuk Marang, Besut, Setiu, Dungun dan Kuala Terengganu.