• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pahlawan Subuh 5.0 Tarik Seribu Jemaah

KUALA TERENGGANU, 31 Mei – Kira-kira 1,000 jemaah menghadiri Program Pahlawan Subuh 5.0 yang berlangsung di Masjid Al-Furqan, Chendering, di sini pada Jumaat.

Jemaah yang terdiri daripada warga emas, anak muda, belia, wanita, dan kanak-kanak hadir seawal jam 4.00 pagi untuk mengikuti qiamullail sebelum diteruskan dengan solat subuh berjemaah.

Solat subuh tersebut diimamkan oleh Al-Syeikh Ali Rasyid Al-Yamani, diikuti dengan tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Wan Ahmad Zuki Wan Ismail.

Majlis kemudian diteruskan dengan perasmian Program Pahlawan Subuh 5.0 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Dalam ucapannya, Dr Khalil mengucapkan tahniah kepada pihak Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) yang bersungguh-sungguh menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan untuk mengukuhkan iman dan kefahaman Islam dalam kalangan rakyat Terengganu.

“Program Pahlawan Subuh ini diubah suai daripada program Subuh macam Jumaat yang popular di negeri-negeri lain.

"Di Terengganu, kita memperkenalkannya sebagai Pahlawan Subuh, yang membawa erti yang tersendiri,” katanya ketika majlis berkenaan.

Dr Khalil turut mengingatkan tentang cabaran akidah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini seperti sekularisme, pluralisme agama, dan Islam liberal.

“Cabaran-cabaran baru ini perlu ditangani dengan meningkatkan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan negeri bersama pihak I-MiTS akan berusaha untuk memastikan rakyat Terengganu dibina dengan pegangan agama yang kukuh.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak masjid yang menjadi tuan rumah program tersebut dan berharap program Pahlawan Subuh akan terus diadakan di seluruh daerah di Terengganu.

"Bila kita kuatkan pegangan agama, insya-Allah perkara lain akan jadi lebih mudah dan Allah SWT akan tunjukkan jalan hidup yang betul," tambah Dr. Khalil.

Para jemaah yang hadir turut disajikan dengan jamuan makan selepas majlis tersebut.

 


Tag: