Berita :
Pakar Gesa Kerajaan Teliti Cadangan Dr. Sam Tangani Lonjakan Harga Minyak
Pakar Gesa Kerajaan Teliti Cadangan Dr. Sam Tangani Lonjakan Harga Minyak
Husaif Mamat
2 jam yang lepas
62

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Cadangan dikemukakan Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung langkah menangani kenaikan harga minyak global wajar diberi perhatian serius kerajaan, kata seorang felo ekonomi.

Felo Ekonomi dan Perniagaan, Dr Baharom Abdul Hamid, berkata lonjakan harga minyak dunia yang kini melepasi paras AS$100 setong bukan sekadar fenomena sementara, sebaliknya mencerminkan tekanan berpanjangan dalam struktur ekonomi global.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau menegaskan bahawa kenaikan tersebut berpotensi mencetuskan kesan rantaian yang luas terhadap ekonomi domestik.

“Kenaikan harga minyak global ini bukan sahaja memberi kesan kepada kos tenaga, tetapi turut meningkatkan kos pengeluaran, pengangkutan dan akhirnya harga barangan pengguna,” katanya.

Menurut Baharom, tekanan tersebut akhirnya akan dipindahkan kepada rakyat melalui peningkatan kos sara hidup, sekali gus menghakis kuasa beli, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sehubungan itu, pakar ekonomi itu berpandangan cadangan dikemukakan Dr. Samsuri  termasuk penubuhan satu mekanisme bebas melibatkan pakar ekonomi, pemain industri dan masyarakat sivil perlu diteliti secara serius oleh kerajaan.

“Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan penyelesaian yang dirangka bukan sahaja bersifat jangka pendek, tetapi mampu menangani isu secara menyeluruh,” katanya lagi.

Dalam laporan sama, Sinar Harian turut menekankan bahawa ketidaktentuan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan global terus menjadi faktor utama yang menekan harga tenaga dunia ketika ini.

Pemerhati berpandangan, dalam situasi sedemikian, pendekatan dasar yang lebih strategik dan berjangka panjang perlu diutamakan, berbanding langkah reaktif yang hanya menjawab tekanan semasa.

Malah, mereka memberi amaran bahawa kegagalan merangka respons yang komprehensif berisiko mempercepatkan tekanan inflasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus ekonomi negara.

Dalam masa sama, kerajaan dilihat perlu melangkaui naratif penjelasan semata-mata, sebaliknya tampil dengan pelan tindakan yang jelas dan berkesan bagi memastikan beban kenaikan harga tidak terus dipindahkan kepada rakyat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan