• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pameran Jabatan Pelancongan Terengganu Raih Pengiktirafan Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mencipta sejarah apabila buat pertama kali menyertai Malaysia International Dive Expo 2024 (MIDE) dan dinobatkan sebagai 'Best Booth Design Award'. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengucapkan tahniah kepada semua petugas Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang bertugas sepanjang ekspo tersebut.

"Acara itu berlangsung selama tiga hari bermula tujuh hingga sembilan Jun di Malaysia International Trade and Exhibition Centre, Kuala Lumpur," katanya dalam hantaran hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman, menyatakan bahawa pencapaian itu merupakan pengiktirafan penting bagi Terengganu dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri. 

Katanya, penganugerahan itu bukan sahaja mengiktiraf usaha dan kreativiti pasukan kami, tetapi juga memberikan dorongan untuk terus mempromosikan destinasi-destinasi menarik di Terengganu.

Tambah Ridzwan, MIDE 2024, yang melibatkan 217 pempamer dari 15 negara, memberi fokus kepada aktiviti air seperti sukan air dan selam skuba di pulau-pulau terkemuka seluruh dunia. 

"Penyertaan JPNT dalam acara itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu bersama Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, dan Majlis Pengurusan Taman Negeri.

“Ia bertujuan bagi mempromosikan Sultan Mizan Underwater Photography (SMUPA) 2024 serta 128 lokasi selam skuba di tujuh pulau Negeri Terengganu termasuk Pulau Tenggol, Pulau Lang Tengah, Pulau Redang, dan Pulau Perhentian," jelasnya.

Ahmad Ridzwan turut menegaskan bahawa penglibatan dalam pameran antarabangsa itu adalah langkah strategik untuk merancakkan industri pelancongan Terengganu khususnya dalam kluster pulau dan pantai.

 “Kami berharap dapat menarik lebih ramai pencinta selam skuba dan meningkatkan kesedaran global tentang keindahan dan keunikan destinasi selam di Terengganu,” tambah beliau.

Selain daripada memenangi anugerah, JPNT juga berjaya menarik perhatian ramai pengunjung dan pempamer lain dengan reka bentuk booth yang kreatif dan informatif, memaparkan keindahan alam marin serta peluang pelancongan yang ditawarkan di Terengganu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: