• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Pameran Jelajah Nusantara, Pamer 32 Artifak Rasullah


Sebahagian pelajar sekolah meninjau salah satu daripada 32 jenis artifak Rasulullah SAW dan Sahabat r.a. yang dikatakan asli.
KUALA TERENGGANU - Pameran Jelajah Nusantara 2018 yang kini diadakan di bumi ‘Darul Iman’ Terengganu, mempamerkan hampir 32 jenis artifak Rasulullah SAW dan Sahabat r.a. yang dikatakan asli.

Justeru, rakyat negeri ini berpeluang melihat secara lebih dekat barangan milik Rasulullah SAW yang dipamerkan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu bermula 23 September hingga 23 Oktober ini.

Penasihat penganjuran, Profesor Dr Abd Manan Embong berkata, pameran itu dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Syarikat Dragon Heart Sdn Bhd dan Galeri Warisan M.A.R yang julung kali diadakan di Terengganu.

Menurutnya, pelbagai jenis artifak asli baginda Nabi SAW dibawa ke negara ini untuk dipamerkan kepada masyarakat Islam di Malaysia.

“Antara barangan yang dipamerkan kepada umum seperti rambut Rasulullah SAW, darah bekam, capal, tapak kaki, serban dan tongkat baginda. Manakala barangan para Sahabat r.a. pula lebih kepada senjata seperti pedang.

“Barangan ini dibawa khas dengan cara meminjam dari beberapa negara iaitu Jordan, Mekah, Madinah, India dan Syria dengan kos yang diinsuranskan sebanyak RM270 juta,” ujarnya, 9 Oktober.

Beliau turut menjelaskan, pameran seumpama itu pernah dilakukan di negeri lain seperti Melaka, Putrajaya, Kelantan, Kedah, Johor Bahru, Selangor (Shah Alam), Thailand, Brunei dan Singapura.

Dr Abd Manan berkata, pameran itu ialah aktiviti jelajah ke seluruh Asia yang dilaksanakan bagi tujuan mendekatkan umat Islam melalui khazanah peninggalan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a. walaupun tidak pernah bertentang mata.

“Saya yakin, pameran ini bukan sahaja dikunjungi rakyat Terengganu tetapi dari seluruh negara dan dunia kerana berdasarkan pameran sebelum ini, terdapat juga orang luar kawasan dan luar negara datang melihat barangan yang dipamerkan,” ujarnya.



Manakala, Pengurus Pameran, Razali Bachik berkata, dalam tempoh 15 hari pertama, penganjuran itu berjaya mencapai ‘target’ Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Hari ini kita buat di Terengganu. Alhamdulillah, hari ini hari ke-15 pameran dan ‘target’ pengunjung kita mencapai KPI kita iaitu sudah lebih 30,000 orang pengunjungnya.

“Biasanya, kehadiran akan bertambah pada hujung minggu dan insya-Allah, sehingga berakhir 22 Oktober ini, kita target pengunjung dari seluruh negara boleh mencecah seramai 100,000 orang,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan adakah artifak itu benar-benar asli, katanya semua khazanah Islam itu tulen serta mempunyai sijil keasliannya daripada pemilik asal.

“Kita ada kerjasama dengan NGO (Badan Bukan Kerajaan) di Arab Saudi. Perjanjian itu kita dapat cadangan daripada kerajaan Brunei untuk kami laksanakan projek Jelajah Nusantara ini.

“Ini supaya masyarakat di Asia dapat melihatnya, di mana artifak yang kami bawa ini semuanya adalah benar-benar asli. Barangan ini juga dipinjam daripada keluarga susur-galur keturunan Rasulullah SAW sendiri. Semua barangan ini diinsuranskan berjumlah RM270 juta,” jelasnya. 

Justeru, katanya ramai juga ulamak-ulamak besar dunia datang melihatnya seperti dari Indonesia, Thailand, Turki, London, Yaman, Pakistan dan sebagainya termasuk ulamak di Malaysia ini.


“Seruan saya kepada orang Terengganu yang telah hadir supaya war-warkan kepada mereka yang belum hadir. Mereka yang belum datang melihat untuk mendapat info tentang pameran artifak ini, datanglah beramai-ramai dan jangan lepaskan peluang keemasan ini,” ujarnya.

Bayaran masuk ke galeri pameran itu RM10 bagi orang dewasa dan RM5 dikenakan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Pameran Jelajah Nusantara 2018 itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali pada 11 Oktober ini.

Penaja utama pameran itu, Dragon Heart Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.


Tag: