• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

Panglima ATM, Ketua Polis Negara Terima Darjah Kebesaran Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 April- Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Abdul Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendahului senarai penerima Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan ke-62 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) kepada kedua-dua tokoh berkenaan yang membawa gelaran Dato' Seri.

Pengurniaan disempurnakan dalam Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Mahkota Raja, dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Turut bersama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam istiadat tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato' Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim turut menerima limpah kurnia Sultan Terengganu apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (DSMZ) yang membawa gelaran Dato'.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) kepada 25 individu yang mana Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah merupakan antara penerimanya.

Manakala, ahli parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bersama 20 penerima lain dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZ).

Pada masa sama, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu (SMT) kepada 14 penerima dan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) kepada 13 penerima.

ADUN Manir, Hilmi Harun pula menjadi antara 28 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (AMT).

Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri yang berakhir pada jam 1.00 petang, hari ini melibatkan keseluruhan 104 penerima.


Tag: