• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Parlimen Bubar, Wajar Tolak Individu Terdesak

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kerajaan negeri kesal dengan keputusan pembubaran parlimen ketika semua jabatan dan agensi sedang bersiap siaga menghadapi musim banjir. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan PAS telah menegaskan bahawa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) tidak wajar dilakukan saat ini. 

“PAS telah berulang kali menegaskan tentang ketidaksesuaian PRU-15 diadakan di saat negara bakal menghadapi suasana banjir yang kini bukan sahaja berlaku di Pantai Timur.

“Rakyat boleh membuat berbagai-bagai andaian tentang tujuan dan kehendak pembubaran yang dipaksakan ini walaupun tinjauan awam menunjukkan lebih 2/3 rakyat tidak bersetuju untuk PRU15 diadakan pada ketika ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan sejurus pengumuman pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri, petang tadi.

Ahmad Samsuri turut menyelar sebahagian pihak dalam parti tertentu bersikap pentingkan diri sendiri sehingga memaksa Perdana Menteri bertindak demikian.

“Mereka yang menekan sehingga keputusan pembubaran ini dibuat merupakan liabiti pada negara dan wajar ditolak dalam PRU yang akan datang,” tambahnya.

Sebarang keputusan berkaitan pembubaran tersebut bakal disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang dijadualkan pada awal pagi esok.


Tag: