• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Parti Aloha : Kerajaan Negeri Panggil Pemilik Resort

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kerajaan negeri memanggil pemilik resort persendirian, Summer Bay Resort pada Khamis ini bagi memberi penjelasan berhubung poster tular memaparkan penganjuran satu parti pada 20 Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu akan turut terlibat.

Kata beliau, pihaknya mahu meneliti jawapan daripada pihak premis swasta itu terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil.

"Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta kita akan bertindak.

"Sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit, itu kita akan teliti," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman sebentar tadi.

Difahamkan, tular satu poster memaparkan satu parti dihadiri penyanyi berbangsa cina dianjurkan pada 20 Mei.

Carian di facebook resort berkenaan tentang parti itu juga memaparkan ia dihos dan dihadiri oleh masyarakat bukan islam resort di Pulau Lang Tengah berkenaan.

Dalam pada itu, Razali turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat tentang isu tersebut kepada pihak berautoriti.

"Jika bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut.

"Insya-Allah kita pakat jaga dan majukan sektor pelancongan negeri kita," katanya.


Tag: