• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Parti Liar : Terengganu Bakal Naikkan Kompaun Lebih RM25,000

KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Kerajaan Terengganu bakal menaikkan kadar kompaun bagi mana-mana premis atau resort yang melanggar peraturan hiburan Pihak Berkuasa Tempatan negeri ini, susulan insiden parti aloha di Pulau Lang Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah tidak menolak kemungkinan pindaan kadar itu, daripada maksima RM25,000 kepada satu jumlah baharu akan dibuat selepas ini bagi menghalang peristiwa sama berulang.

Katanya, ia dinaikkan jika kompaun maksima sedia ada tidak memberikan kesan yang cukup kepada pengusaha resort.  

“Jika kompaun ini tidak menimbulkan kegerunan kepada pengusaha resort untuk mengikut peraturan, kita mungkin meningkatkan jumlah kompaun supaya memberi pengajaran kepada semua untuk mengikut peraturan yang ada di negeri Terengganu, kita pinda enakmen dalam sidang Dewan Undangan Negeri untuk naikkan kompaun.

"Kerajaan negeri berharap tindakan ini akan menjadi pengajaran dan memastikan sektor pelancongan di Terengganu berkembang dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan memantau dengan lebih ketat aktiviti di semua resort di Terengganu.  

“Kita kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula daripada sekarang akan memantau perjalanan aktiviti semua resort yang ada di negeri Terengganu supaya mengikut peraturan, enakmen yang kita tetapkan,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan negeri telah mengenakan kompaun maksima sebanyak RM25,000 kepada Summer Bay Resort yang menganjurkan parti liar di negeri terbabit.


Tag: