• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

PAS Umum Calon Sungai Bakap 15 Jun

KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bagi Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan secara rasmi pada 15 Jun (Sabtu) ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, calon yang dipilih itu adalah calon yang terbaik dipilih pucuk pimpinan parti dan mampu memberikan perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada rakyat di Sungai Bakap.

"Kita akan umumkan calon PRK DUN Sungai Bakap itu pada hari Sabtu nanti.Kalau saya bagi hint, dah tak ada kejutan la untuk hari Sabtu nanti.

"Insya-Allah kita ada peluang untuk menang dan kita doakan agar peratus yang keluar mengundi itu tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.


Tag: