• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Terengganu Pasang 'Tracker' Kesan Pergerakan Penyu

KUALA TERENGGANU, 2 Mei - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menggunakan sejenis alatan canggih yang dinamakan Platform Terminal Transmitter (PTT) bagi mengesan pergerakan penyu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, alat ‘tracker’ yang dipasang pada penyu itu berfungsi memancarkan isyarat terus kepada satelit dalam kajian mengesan pergerakan penyu ke seluruh dunia.

“Setakat ini didapati, penyu yang pernah mendarat di Terengganu kemudian dipasang PTT, dalam tempoh lebih kurang setahun direkodkan pergerakannya berada di Jepun, Filipina serta Vietnam. Sebab itulah penyu digelar perenang yang sangat handal, bukan sebab merajuk. Nanti penyu akan balik semula ke tempat ia menetas,” tulis beliau dalam satu hantaran di laman facebooknya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, pendaratan penyu di Terengganu meningkat. 

“Saya ambil contoh spesis Penyu Agar sahaja, bagi 2021 sebanyak 7,301 pendaratan yang menghasilkan biji 429,371 telur. 

“Tahun 2022 sebanyak 9,618 dengan 586,430 biji telur. Bagi tahun 2023 meningkat kepada 10,120 pendaratan dengan jumlah telur 750,527 biji telur,” ujarnya.