• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasar Payang 1 Dijangka Buka Awal Julai

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pasar Payang 1 dijangka akan mula beroperasi seawal bulan Julai, mengikut laporan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata komitmen itu telah dinyatakan dalam satu perjumpaan pada Khamis lepas yang melibatkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif, semua Pengarah Kanan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), serta 580 peniaga Pasar Payang.

Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, Datuk Bandar memberikan taklimat terperinci mengenai proses perpindahan peniaga dari Pasar Payang Dua ke Pasar Payang Satu serta proses pengubahsuaian Pasar Payang Dua untuk menempatkan peniaga yang berada di luar pasar tersebut.

“Semua 580 peniaga telah diberikan 'timeline' yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Pada mulanya, terdapat peniaga yang ingin kekal di lokasi lama, namun mereka akhirnya akur dengan keputusan kerajaan demi kelancaran perpindahan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Mini Carnival World Lupus Day Explorace 2024 bertempat di Kampung Budaya, Kompleks Muzium Negeri di sini semalam.

Tambah Wan Sukairi, perpindahan tersebut akan menambah jumlah peniaga di kedua-dua pasar, dengan lebih daripada 580 peniaga beroperasi di Pasar Payang Satu dan Pasar Payang Dua.

"Proses pengundian akan berlaku dalam bulan Jun ini untuk menentukan segmen-segmen tertentu kepada para peniaga.

“Pasar Payang Satu, yang merupakan pasar baru, dijangka akan mula beroperasi pada bulan Julai nanti, membawa harapan baru kepada peniaga dan penduduk setempat,” ujarnya.

 

 

 

 

 


Tag: