• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pasarnita Tanjung Bakal Kembali Dengan Konsep Baharu

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Selepas dilihat kurang berjaya menarik pengunjung sejak dibuka pada 2016, Pasarnita Tanjung bakal tampil dengan identiti dan tarikan tersendiri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ada menerima beberapa proposal untuk menguruskan Pasar Nita.

"Kita dimaklumkan suasana Pasarnita  suram dan sepi kerana ketiadaan operator untuk menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.  

"Kini pihak MBKT dalam proses menilai proposal yang dihantar dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa kewangan dan pelaburan untuk melantik operator yang berkelayakan bagi menguruskannya

"Insya Allah dalam tempoh dua bulan lagi Pasarnita akan kembali berseri dalam membentuk identiti dan tarikan tersendiri," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati.

Sementara itu, kerajaan negeri kini dalam usaha mengkaji cadangan penyediaan perkhidmatan bas elektrik berhenti-henti bagi mengantikan bas lama milik Cas Ligas Sdn. Bhd.

Hanafiah berkata cadangan itu bagi mengurangkan jurang jaringan perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar,  kerana bas lama milik Cas Ligas telah berusia melebihi 15 tahun. 

"Cas Ligas Sdn. Bhd. dalam proses mengemukakan kertas cadangan pembelian melalui kaedah sewa beli untuk penilaian kerajaan negeri," ujarnya.