• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PASRelief Sumbang RM545,000 Kepada Pelarian di Yaman

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – PASRelief berjaya menyampaikan sumbangan sebanyak RM545,000 kepada 470 keluarga mangsa konflik perang saudara di Yaman dalam delegasi kemanusiaan ke negara itu baru-baru ini.

Pengerusi PASRelief Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak RM145,389 sumbangan orang ramai dari negeri Terengganu untuk membantu meringan beban mangsa berkenaan.

Katanya, Misi tersebut diketuai oleh Pengarah PasRelief Malaysia, Mohd. Yusni Mat Piah serta disertai oleh sembilan anggota termasuk dari Dewan Muslimat PAS Malaysia, Iman Care dan Madinah Prihatin bermula 8 hingga 13 Mac lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata, beliau cukup tersentuh apabila menyantuni pelarian-pelarian yang berada di kem perkhemahan terbesar di Ma’rib khususnya di Kem Al-Jufainah yang menempatkan lebih 15,000 buah keluarga.

“Dengan sumbangan-sumbangan yang diamanahkan kepada kami, telah kami sampaikan terus kepada rakyat Yaman yang terlibat dengan isu kemanusiaan disana dengan bantuan dari NGO di Yaman iaitu Human Access.

“Antara bentuk bantuan yang diberikan termasuklah pemberian pek makanan untuk Ramadan kepada 300 buah keluarga, bantuan perubatan di Hospital Ma’rib dan Hospital As-Syahid Muhamamad Hail sebanyak 4 unit mesin incubator dan pendingin hawa dan pemberian susu nutrisi kepada 50 orang penerima selama tiga bulan yang bertujuan untuk pembesaran yang lebih sempurna kepada anak-anak di kem pelarian," katanya.

Katanya lagi, PASRelief juga telah menyampaikan sumbangan bantuan 120 buah tangki air bagi tempat tinggal di kem pelarian tersebut kerana akses untuk mendapatkan bekalan air bersih sangat terhad dan dicatu.

Untuk rekod sejak ditubuh tahun 2017, PASRelief telah menyampaikan bantuan kemanusiaan mangsa perang di negara Rohingya, Syria, Mindanao dan Palestin. 

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang menyumbang melalui tabung Kemanusiaan Terengganu Untuk Yaman atau melalui terus kepada PASRelief.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menyumbang dan membantu saudara kita di Yemen. Insya-Allah, misi seperti ini akan diteruskan pada masa mendatang melihatkan keadaan mereka yang masih memerlukan komitmen dari rakyat Malaysia ini,” ujarnya.


Tag: