• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Pastikan Anak Muda Di Landasan Yang Betul


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 30 Disember - Anak muda lazimnya sukakan aktiviti lasak. Disebabkan itu, pemimpin masyarakat perlu memastikan minat mereka berada disalurkan pada landasan yang betul.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Al-Muktafi Billal Shah (AMBS) Cawangan Taman Indah, Zakiah Alias @ Mohd berkata, anak muda perlu didekati dengan apa yang mereka minat.

"Kita perlu pastikan mereka (anak muda) terbimbing melakukan perkara yang bermanafaat. Apa yang baik, kita raikan dan dorong supaya mereka tidak berasa terpinggir.

"Sebagaimana hari ini, kita telah menganjurkan kejohanan futsal yang amat digemari anak muda.

"Secara tidak langsung, penganjuran aktiviti seumpama ini akan merapatkan jurang diantara MPKK dan anak muda.

“Hubungan yang terjalin ini akan menjadikan mereka dekat dengan kita untuk mengadu segala permasalahan dan sudi membantu kita dalam pelbagai urusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu menghadiri Kejohanan Futsal Tertutup anjuran MPKK di AMBS, semalam.

Beliau yang merupakan satu-satunya pengerusi MPKK wanita di Terengganu menyatakan kejohanan itu memberi impak yang positif dalam melahirkan anak muda yang sihat dan cergas serta tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

"Mereka mempamerkan permainan yang cukup menarik serta mementingkan semangat kesukanan yang tinggi," jelasnya.

Kejohanan tersebut disertai 10 pasukan dan telah dimenangi oleh pasukan KETENGAH Holding Sdn Bhd, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM 200 beserta medal dan hamper.

Manakala, Jagong FC, ATR FC dan Umor FC pula menggondol hadiah wang tunai RM 100 beserta medal dan hamper apabila mengungguli tempat kedua, ketiga dan keempat.

Zakiah turut berharap agar penganjuran kejohanan berkenaan akan dapat diadakan secara berkala dalam usaha membangun belia dan anak muda negeri.




Tag: