• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

PAU 2017: Kerajaan Tubuh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara

Tengku Zaihan

Kerajaan Barisan Nasional bersetuju untuk menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi menangani isu dan mendepani cabaran kenaikan kos sara hidup.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini penting supaya rakyat tidak terus terbeban dan merungut dengan bebanan kenaikan  pelbagai barangan dan perkhidmatan pada masa kini.

"Presiden Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah bersetuju untuk merealisasikan cadangan yang diberikan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar ketika sesi perbahasan," katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara mendapat perhatian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Katanya, penubuhan majlis tersebut amat bertepatan dengan suasana ekonomi pada zaman yang penuh mencabar kini.

"Terima kasih diucapkan kepada presiden parti, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di atas penubuhan majlis tersebut dan tidak lupa kepada jurucakap Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar yang membahaskan usul tersebut.

"Ini membuktikan kerajaan sentiasa memahami denyut nadi rakyat walaupun dalam situasi ekonomi global yang sangat mencabar dan kita turut terpalit kesannya," katanya kepada Teganukita.

Tambahnya, ia sekaligus membuktikan bahawa UMNO merupakan parti pembela rakyat dulu, kini dan selamanya.

Tengku Zaihan berkata, walaupun dihujani pelbagai fitnah dan kata cacian oleh pihak pembangkang, namun ianya tidak menggugat parti keramat yang sentiasa istiqamah dalam membantu sekali gus merasai denyut nadi rakyat.

Tag: