• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PAU 2017: UMNO Bukan Kerja Semasa PRU Sahaja

Mohd Sabri Alwi

UMNO dan Barisan Nasional tidak hanya turun padang untuk pilihan raya semata-mata, tetapi bekerja untuk rakyat tanpa mengira masa.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato' Mohd Sabri Alwi berkata, pelbagai pendekatan UMNO bersama rakyat telah lama dibuat dan tidak hanya tertumpu pada musim pilihan raya.

Katanya, dalam ucapan Presiden Parti juga turut menekankan supaya tidak leka dan mengambil mudah dalam sebarang perkara.

"Yang paling penting adalah pendekatan kita sebagai pemimpin UMNO untuk turun ke bawah berjumpa dengan para pengundi kita dan cuba menyelesaikan apa sahaja masalah dihadapi oleh pengundi-pengundi ini.

"Pendekatan ini bukan kita buat pada hari ini dan bukan kerjanya untuk bila sampai musim pilihan raya. Tapi kita bekerja setiap masa untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya kepada Teganukita.

Beliau ditemui pemberita di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, bantuan perlu disampaikan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka kerana landasan kemanusiaan mengatasi parti.

Sabri yang juga Pegawai Pembangunan DUN Ladang berkata, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat, UMNO akan cuba membantu dan memberi servis terbaik kepada sesiapa yang dilanda musibah.

Dalam masa yang sama, Sabri berkata politik pada hari ini merupakan politik persepsi terlalu banyak tohmahan dilakukan terutamanya daripada pembangkang kepada UMNO.

"Namun demikian, Alhamdulillah di Kuala Terengganu kita mempunyai media sosial ataupun 'cyber trooper' yang bergerak sebagaimana diarahkan oleh Presiden Parti untuk menangkis segala tohmahan oleh pembangkang.

"Dalam masa yang sama juga, Kuala Terengganu mendapat tempat ketiga anugerah media sosial dan cyber di kalangan 191 bahagian," katanya.

Tag: