• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PB Hotel Sasar Peroleh Pendapatan RM24 Juta Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 4 Jun – Paya Bunga (PB) Hotel, anak syarikat Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM24 juta tahun ini.

Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Alias berkata, sasaran tersebut berdasarkan peningkatan hampir RM4 juta berbanding perolehan yang direkodkan sepanjang tahun lalu iaitu RM19.8 juta.

Katanya, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan selain memfokuskan kepada pakej jualan bilik penginapan, sewaan ballroom dan dewan seminar,termasuk memperhebatkan lagi promosi pakej restoran mereka.

"PB Hotel juga meneroka cabang perniagaan baharu iaitu perkhidmatan katering untuk penyediaan makanan di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dan beberapa acara jamuan besar melibatkan Istana Syarqiyyah.

"Perniagaan baharu ini akan turut menyumbang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada peningkatan perolehan dan keuntungan PB Hotel pada akhir Disember tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam masa sama, Abdul Hadi berkata, PB Hotel kini dalam perancangan untuk mengadakan pakej perkahwinan di atas bumbung bangunan (rooftop) dan muncul hotel yang pertama memperkenalkannya di Terengganu.

"Konsep sebegini sudah banyak dibuat di sekitar Lembah Klang dan kita sedang berbincang untuk merealisasikannya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi," katanya.

PB Hotel pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih oleh International Travel Award sebagai pemenang bagi kategori 'Best City Hotel' yang telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 Jun 2023.

“Ini termasuk memenangi anugerah antarabangsa daripada Universal Crescent Standard Centre (UCSC) sebagai Pengiktirafan Standard Kualiti Islam Bagi Kategori Hotel untuk tahun 2021 hingga 2023.

"Kita juga berjaya mengekalkan 'rating' melebihi 8 daripada maksima 10 oleh Hotels.com iaitu 8.2 dan Agoda iaitu 8.7 pada tahun ini," katanya.