• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

PdPR Cabaran Untuk Guru Luar Bandar

DUNGUN, 28 Januari- Pelaksanaan Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi cabaran kepada guru yang berada di kawasan pedalaman.

Perkara tersebut turut diakui Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tepus, Noraini Ab Hamid yang memberitahu keadaan sedemikian dialami para guru di sekolah beliau yang terletak di Hulu Dungun.

Katanya, antara masalah yang dihadapi termasuk jaringan telekomunikasi yang kurang memuaskan menjadikan proses PdPR sukar untuk dilaksanakan.

"Komitmen para pelajar memberikan tumpuan melalui proses pembelajaran ini agak payah kerana ketiadaan capaian internet.

"Menyedari hakikat kesukaran yang dialami oleh para murid dan ibu bapa kita di peringkat sekolah sentiasa mencari inisiatif termasuk dengan menyerahkan kertas latihan kepada murid yang diambil di sekolah untuk disiapkan di rumah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sumbangan Prihatin COVID-19 kepada 20 buah sekolah di DUN Bukit Besi, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi oleh Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman, hari ini.

Turut hadir Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Khaziman Khalik.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, Badariah Muda berkata, para guru tiada masalah dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan PdPR dan boleh memberikan komitmen sepenuhnya.

"Tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan proses pembelajaran demikian dapat diikuti dengan baik. 

"Kita juga turut memahami bahawa tidak semua ibu bapa mampu menyediakan peranti kepada anak-anak mereka sehinggakan ada yang terpaksa menunggu ibu bapa pulang dari kerja dahulu baru berpeluang menggunakan peranti berkenaan dan melihat kepada latihan yang diberikan," ujarnya.

Sementara itu Ghazali berharap agar segala kekurangan di DUN berkenaan tidak dijadikan halangan untuk para guru terus memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak di DUN Bukit Besi.

"Sebaliknya perlu sentiasa proaktif dan perlu mencari jalan bagaimana untuk mengadaptasi pembelajaran ketika pandemik melanda negara ketika ini.

"Juga kita menyarankan agar pelajar tingkatan lima di pedalaman ini diwajibkan untuk tinggal di asrama kerana mereka akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan sebaik-baiknya.

"Supaya dapat memastikan mereka menumpukan sepenuhnya pada peperiksaan berkenaan tanpa ada masalah, juga diharapkan agar ibu bapa memberikan komitmen serta motivasi kepada anak-anak agar bersedia menduduki peperiksaan penting itu," ujarnya.

Katanya, sumbangan yang disampaikan sebanyak RM 10,000 kepada seluruh sekolah di DUN berkenaan iaitu 15 buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah merupakan sumbangan prihatin bagi pengurusan keseluruhan sekolah berkenaan.

 


Tag: