• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pejabat Agama Daerah Marang Tawar Kursus Mandi Jenazah

MARANG, 18 September - Pejabat Agama Daerah Marang melalui Bahagian Unit Dakwah kini menawarkan khidmat jurumandi jenazah kepada mereka yang berminat melalui kursus yang dianjurkan.

Ketua Unit Dakwah, Ahmad Mohsein Zakaria berkata kursus  tersebut merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Marang untuk membantu masyarakat kampung melalui kefahaman mengenai fardhu kifayah ini.  

“Pengurusan jenazah ini mudah dilakukan, tetapi dianggap sukar apabila tidak mempelajarinya.

“Peserta yang menyertai kursus ini akan ditawarkan sebagai jurumandi jenazah serta diberikan bimbingan khas oleh pihak jabatan untuk dinilai samada layak atau sebaliknya,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian selepas Program Kursus Pengurusan Jenazah Siri Kedua bertempat di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR) Marang semalam.

Tambah Mohsein, seramai 65 orang peserta terlibat untuk program kali ini dan akan diberikan sijil penyertaan serta tawaran untuk jurumandi jenazah.

Katanya, pada siri pertama telah diadakan kursus pengurusan jenazah khas untuk kaum wanita sahaja dan untuk kali ini diadakan pula untuk kaum lelaki.

"Kesemua peserta yang terlibat menunjukkan maklum balas positif serta penceramah jemputan adalah daripada mereka yang pakar dalam bidang pengurusan jenazah.

"Saya berharap sesetengah masyarakat pada hari ini mengambil cakna terhadap ilmu fardhu kifayah dan sentiasa saling mengingati antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata pihaknya akan meneruskan program seperti ini untuk kepentingan masyarakat kampung apabila berlakunya kematian.