• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pejabat Daerah Kemaman Anjur Kembara Merdeka

KEMAMAN, 26 Ogos - Pejabat Daerah Kemaman telah menganjurkan program Kembara Merdeka Kemaman sempena penyerahan jalur gemilang kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi seluruh daerahnya, semalam.

Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohamad A. Rahman @ Othman berkata, Penyerahan jalur gemilang pada kali ini melibatkan 125 MPKK.

"Tujuan Kembara Merdeka Kemaman diadakan untuk menyemarakkan sambutan kibaran jalur gemilang pada tahun ini," ujarnya.

Katanya lagi, ia selari dengan sambutan kemerdekaan pada tahun ini yang bertemakan "Malaysia Prihatin".

"Malaysia Prihatin membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat samada pihak kerajaan, pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan ataupun individu.

Malaysia Prihatin juga membawa pengertian keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia melalui inisiatif Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelansungan hidup rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada hadirin di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.

Program tersebut telah disertai oleh 67 orang peserta konvoi motorsikal 250cc ke bawah melibatkan kakitangan Pejabat Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam program tersebut, rombongan kembara motosikal ini menuju ke empat destinasi iaitu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi daerah Kemaman. Ianya bermula dari Pejabat Daerah Kemaman menuju ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih. Seterusnya meneruskan perjalanan ke Dewan Orang Ramai, Kampung Baru Kertih Zon 1. Manakala meneruskan perjalanan ke Pejabat Pegawai Penyelaras DUN Kijal dan menamatkan kembara ke destinasi terakhir di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.

Turut serta dalam kembara tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.


Tag: