• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pekida Terengganu Sedia Kerjasama Dengan Pas

Ahmad Samsuri menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim. Foto Harish Fadzillah Kassim

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan pemerintah dan menafikan ia menjadi ‘alat’ kepada Umno.

Pengerusi Pekida Terengganu, Zabidi Zahid berkata, Pekida adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan kebebasan berpolitik kepada lebih 4,000 ahlinya di seluruh negeri.


“Kita NGO bebas dan kita memberikan kebebasan berpolitik kepada ahli, siapa sahaja yang terajui negeri atau negara kita akan sedia sokong dan bekerjasama sekalipun berlakuperlaihan kuasa.

“Kali ini kita akan beri kerjasama pada kerajaan Pas. Sebelum ini BN. Mana-mana pemerintah. Kita akan sedia kerjasama. Ahli kita juga bebas untuk sokong parti mana dalam PRU,” katanya ketika ditemui sempena majlis berbuka puasa bersama anak yatim, ibu tunggal dan fakir anjuran Pekida di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.
Dalam pada itu, Zabidi berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa Pekida menjadi alat kepada Umno.

“Kita tak pernah jadi alat kepada mana-mana parti politik dalam negara malah kita sedia beri kerjasama pada mana-mana kerajaan pemerintah untuk melaksanakan ‘amar makruf nahi mungkar’.

“Mana-mana kerajaan pemerintah yang mahu laksanakan kebajikan kepada rakyat, mengekang perkara tidak baik, kita akan sedia bantu dan sokong,” katanya.

Ditanya mengenai harapan terhadap tampuk pemerintahan baharu Terengganu kali ini.

Katanya, beliau berharap kerajaan hari ini dapat memandang serius peranan pertubuhan sedia ada dan dapat membantu mengukuhkan lagi peranan NGO dalam masyarakat.

“Kita amat berbesar hati dengan kesudian Menteri Besar Terengganu untuk hadir ke majlis yang kita adakan ini walaupun beliau perlu bergegas ke Kota Baharu sebaik selesai majlis hari ini (semalam).


“Ini jelas menunjukkan komitmen dan sokongan beliau terhadap pertubuhan di Terengganu.

 Jadi, selepas ini kita amat berharap dapat bekerjasama dengan setiap wakil rakyat di setiap kawasan untuk sama-sama lihat apa yang boleh kita buat untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 60 anak yatim, 30 ibu tunggal dan 30 fakir miskin diraikan dengan menerima sumbangan wang tunai berserta barangan keperluan asas bagi meringankan beban sempena meraikan Ramadan dan menyambut kunjungan Aidilfitri.

Tag: