• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pelajar Cemerlang Bangkit Dari Kegagalan



Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 19 Jun- Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang memberangsangkan bukan penghalang bagi Anis Asfarina Abdul Wahab, 20 untuk mencabar diri menjadi seorang daripada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018.

Anis Asfarina yang berasal dari Kampung Jerung Seberang dan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan (SMKPB) merupakan antara 4 calon pelajar terbaik STPM di daerah Marang yang memperoleh semua A penuh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am, Sejarah dan Geografi.

Anak tunggal yang tinggal bersama neneknya itu berkata, walaupun keputusan SPM dua tahun lalu kurang cemerlang, namun bukan alasan menyerah kalah sebaliknya berusaha untuk terus bangkit bagi menyambung pelajaran pra-universiti demi membantu mengubah nasib keluarga yang serba kekurangan.


"Dalam SPM, saya hanya mendapat 4A, 2B+, 2B-,1B. Gagal sekali, bukanlah gagal selamanya kerana jika berusaha pasti kita akan berjaya.

“ Pesanan kepada adik-adik, semua kejayaan itu datang daripada Allah dan untuk berjaya mintalah pada Tuhan supaya memudahkan urusan seharian kita. Selepas solat maghrib juga saya banyak membaca surah yaasin.

"Ayah dan ibu telah lama berpisah, emak diuji kesakitan dan hanyalah suri rumah setelah ditinggalkan oleh ayah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018 di Dewan Al-Ghazali SMKPB , hari ini.


Pada  majlis tersebut, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof turut menyampaikan insentif segera kepada pelajar cemerlang STPM di SMKPB sempena Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik 2018.

Seramai 4 orang pelajar daerah itu memperoleh keputusan semua A bagi STPM 2018 dengan keputusan semua A penuh dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 yang mana salah seorangnya adalah pelajar SMKPB.

Tag: