• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Pelajar Pecah Saluran Darah Otak Terima Bantuan Kerajaan, Petronas

KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Kerajaan Terengganu dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) terus memberi sokongan dan bantuan kepada salah seorang pelajar tajaan, Muhammad Amirul Nazmi Sam yang kini terlantar di rumah beliau di Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil sejak Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap ADUN Ajil Maliaman Kassim berkata, pihaknya akan berusaha untuk mencari dana bagi meringankan kos perubatan dan makanan harian pelajar cemerlang Terengganu itu.

Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan media, memaklumkan sejak Amirul Nazmi dimasukkan ke hospital, pihaknya terus memantau dengan teliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya dalam usaha membantu pemulihan beliau.

Katanya, pihaknya juga menerima sokongan perubatan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

“PETRONAS sentiasa komited dalam menyokong pelajar tajaannya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga semasa dalam keadaan sukar. 

“Keutamaan kami adalah kesejahteraan dan pemulihan pelajar tajaan kami, dan kami bersedia untuk memberi bantuan sewajarnya dalam situasi yang sukar ini,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, Amirul Nazmi yang merupakan seorang pelajar cemerlang yang menerima tajaan PETRONAS dan bakal melanjutkan pengajian di sebuah universiti di England, kini terlantar di rumahnya.

Menurut ibunya, Wan Murni Wan Ngah, 46 berkata anaknya telah pengsan tiba-tiba di ruang tamu apartment di Taylor University.

Jelasnya lagi, imbasan pihak hospital mendapati saluran darah ke otak anaknya pecah sehingga mengakibatkan anaknya itu lumpuh sebelah badan bahagian kanan.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: