• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober -  Pelajar Terengganu terus ke hadapan mempamerkan bakat dan kreativiti dalam pertandingan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) 2024 yang bertemakan ‘Smart Home’ pada edisi kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat sangat teruja dan kagum dengan daya cipta yang ditunjukkan oleh peserta pertandingan.

“Saya sangat berbesar hati dapat menyaksikan pertandingan mencungkil bakat, inovasi dan kreativiti pelajar terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Dengan tema ‘Smart Home’, anak-anak kita diberi peluang untuk mempamerkan kebolehan mereka dalam mencipta solusi lebih pintar dan berinovasi untuk masa hadapan. Rumah pintar bukan sekadar tempat tinggal yang dilengkapi teknologi canggih, tapi boleh menjimatkan tenaga, selesa dan lestari.

“Pihak Kerajaan Negeri amat menitikberatkan dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap sumber manusia dan bakat-bakat yang ada khususnya anak Terengganu, supaya tidak ketinggalan bagi memenuhi keperluan teknologi di masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SYCC 2024 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Naib Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Nadia Khairene Ismail.

Sebanyak 40 buah sekolah dari seluruh Negeri menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PSKT hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pendidikan Yayasan Terengganu, serta penaja utama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.

SK Gong Kapas menjuarai pertandingan SYCC 2024 kategori Sekolah Rendah, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan, plug pertandingan serta sijil penyertaan, naib juara dimiliki SK Sura dan tempat ketiga SK Kelulut.

Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Tengku Lela berjaya ketepikan 25 pasukan lain untuk bergelar johan pertandingan, naib johan disandang SMK Rasau Kertih dan diikuti rapat SMK Balai Besar di tempat ketiga.