• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Pelan Tindakan Kebersihan PBT 'Selamatkan' Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 24 April - Pelan tindakan perkhidmatan pembersihan awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat berjaya memastikan persekitaran bersih dan terpelihara ketika sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antaranya ialah dengan penubuhan pasukan ‘taskforce’ operasi yang terdiri daripada 107 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai unit dan jabatan dalaman.

"Tahniah atas usaha PBT meskipun berdepan peningkatan ketara jumlah pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan sehingga tiga kali ganda dengan purata sekitar 300 tan-400 tan sehari berbanding hari biasa. 

"Selain itu, usaha juga dilakukan dengan penyusunan semula jadual kutipan sisa pepejal untuk semua zon bermula 1 April sehingga 14 April serta memperkasa proses pembaikian jentera iaitu lori Kompaktor supaya kerja-kerja pembaikian dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM 20,000 kepada Majlis 

Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi menampung kos sewaan tong RORO yang ditempatkan di lima belas (15) lokasi titik panas sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut memaklumkan bahawa peruntukan membiayai kos perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan pada tahun 2024 dijangka meningkat daripada RM78.9 juta kepada RM81.5 juta.

"Ia disebabkan oleh perubahan kadar cukai perkhidmatan (Sales and Service Tax) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada enam peratus kepada lapan peratus yang telah berkuatkuasa mulai 1 Mac," katanya.

 


Tag: