• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

PeliTer 2023 Catat Sejarah Baharu, 28,000 Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 19 April - Program Pelita Raya Terengganu (PeliTer@KBT) yang berlansung di Kampung Budaya Terengganu mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila merekodkan kehadiran seramai 28,000 pengunjung sepanjang lima hari .

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknolgi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, jumlah kehadiran orang ramai itu melebihi sasaran awal yang hanya menjangkakan kehadiran 20,000 pengunjung.

Katanya, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu disebabkan promosi yang dilakukan secara menyeluruh bukan sahaja mendapat liputan media arus perdana, tetapi juga turut ditularkan di media sosial.

"Selain itu faktor yang menyaksikan setiap malam penuh sesak dihadiri pengunjung adalah disebabkan keunikan pelbagai reka bentuk replika pelita yang mendorong peserta yang menyertai pertandingan fotografi serta video TikTok menghebahkan program yang diadakan itu dengan penuh kreatif.

"Dengan sambutan begini baik, pada tahun hadapan akan dikaji balik untuk ditambah baik, berkemungkinan ia akan diadakan lebih awal di Bulan Ramadan.

"Bagi menghidupan kembali tradisi yang sebenarnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerana kita tidak mengikut agama atau budaya lain, tetapi ia merupakan amalan yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang sering dipasang pada malam tujuh likur," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalm sidang media di malam kemuncak program yang diadakan itu, di Kampung Budaya Terengganu, Muzium negeri, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadhli Yusof Zakaria.

Mengulas lanjut katanya, dengan diadakan lebih awal pada tahun hadapan program berkenaan akan diadadakan dalam tempoh lebih lama berbanding tahun ini.

"Kita memlihi Kampung Budaya ini kerana merasakan di sini lebih ceria dan untuk tahun hadapan kita akan buat lebih baik.

"Program yang dilaksanakan ini juga menzahirkan kerajaan meraikan kepelbagaian rakyat Terengganu untuk mereka luangkan masa seketika selepas solat sunat Tarawih.

"Kemudian dapat menyambung kembali ibadat, dimana program PeliTer ini diadakan setakat pukul 11 malam sahaja tetapi untuk malam akhir ini kita lanjutkan sehingga pukul 12 malam dengan harapan kami agar rakat Terengganu bergembira dengan keterbukaan kerajaan negeri yang ada sekarang ini di semua peringkat," ujarnya.