• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

PeliTer 2024 Rekod 150 Ribu Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Program Pelita Raya Terengganu (PeliTer@TTI) yang berlangsung selama lima hari di Taman Tamadun Islam, di sini merekodkan jumlah pengunjung seramai 150,000 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kehadiran tersebut meningkat sebanyak 122,000 orang berbanding pada tahun lepas yang hanya mencatat seramai 28,000 pengunjung.

“PeliTer pada tahun lepas yang diadakan di Kampung Budaya Terengganu telah bertukar tempat ke Taman Tamadun Islam (TTI) pada tahun ini untuk memudahkan orang ramai hadir, jadi tidak hairanlah jumlah pengunjung yang hadir begitu tinggi.

“Program tersebut juga telah melebihi sasaran yang kita letakkan seramai 50,000 orang dan ianya adalah satu pencapaian luar biasa bagi pihak penganjur.

“Saya difahamkan bukan hanya pengunjung tempatan sahaja yang datang bahkan dari luar negeri juga hadir seperti Kelantan dan Pahang serta ada juga yang sempat saya bertemu berbuka puasa di sekitar kawasan PeliTer ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Program PeliTer@TTI bertempat di Booth Jabatan Pelancongan Negeri (Sebelah Galeri Khat TTI), Tasik Pahlawan, TTI di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerus, Khazan Che Mat.

Tambah Razali, program tersebut bertujuan bagi mengekalkan tradisi lama yang membawa masyarakat ke zaman lampau.

“Di samping, kita nak bagitau kepada generasi baru bahawa inilah keadaan nenek moyang dahulu ketika menyambut hari raya dengan situasi tiada elektrik yang hanya bertemankan lampu lilin dan pelita sahaja.

“Program ini untuk membawa generasi sekarang merasai zaman dahulu serta memberi pengetahuan seperti pelita paling lama iaitu pelita kelapa turut ada dipamerkan di sini,” katanya.

Beliau berkata, program yang bermula 19 Mac hingga 23 Mac 2024 yang bertemakan Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter itu mengetengahkan konsep Pelita Raya Pesisir Air. 

“Ia juga mengambil kira penjenamaan Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air, yang merupakan salah satu kluster pelancongan negeri.  

“Peliter@TTI mendapat 10 penyertaan yang melibatkan semua pejabat daerah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, rekaan replika dan dekorasi bergantung kepada kreativiti masing-masing atau berdasarkan produk daerah.

 


Tag: