• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pemain Belanda Perkuat Benteng TFC

KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Pemain asal Belanda, Matthew Rudolf Maria Steenvoorden bakal memperkukuh benteng Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila diumumkan sebagai pemain import baharu pasukan itu.

Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata Steenvoorden telah menjadi pilihan utama pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk ditempatkan di benteng pertahanan terakhir pasukan TFC.

Katanya, pemain yang berumur 31 tahun yang berketinggian 1.88 meter itu merupakan bekas pemain kelab Feyenoord dalam Liga Belanda musim 2012 hingga 2015.

"Beliau akan beraksi buat kali kedua di pentas Asia selepas tahun sebelum ini bersama kelab Uzbekistan, Pakhtakor Tashkent FC.

"Ketika beraksi di liga utama Uzbekistan itu beliau turut membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan kali keempat berturut-turut," ujar kenyataan itu.

Tambahnya, Matthew Steenvoorden juga pernah beraksi di liga Belanda bersama Feyenoord Rotterdam, Excelsior Rotterdam, Dordrecht FC dan SC Cambuur Leewarden sebelum berhijrah ke Croatia pada tahun 2019.

"Pencapaian itu cukup membuktikan beliau seorang pemain yang mempunyai pengalaman yang luas di eropah dan turut pernah menyertai Skuad bawah 19 tahun Belanda.

"Dengan harapan yang tinggi, beliau yang bakal menyarung jersi bernombor 4 menyatakan ingin menggunakan peluang ini sebaik mungkin membuktikan kualiti yang beliau ada bagi memantapkan lagi jentera pertahanan tengah pasukan ini," jelasnya.

Pihak Pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada Steenvoorden dan selamat berjuang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: