KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Kerajaan negeri Terengganu menyeru semua pemandu e-hailing di negeri ini supaya berdaftar dengan persatuan berkaitan bagi memastikan kebajikan, hak dan suara mereka lebih terjamin serta teratur pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato Ariffin Deraman berkata, peranan pemandu e-hailing bukan sekadar menggantikan perkhidmatan teksi, sebaliknya melengkapkan sistem pengangkutan sedia ada dan membantu merancakkan sektor pelancongan serta industri penghantaran makanan.
“Pada saya, peranan pemandu e-hailing sangat besar. Mereka bukan mengambil alih tugas pemandu teksi, tetapi saling melengkapi lebih-lebih lagi pada masa kini masyarakat sudah terbiasa membuat pesanan makanan dan barang dari rumah.
"Jadi industri ini membuka peluang rezeki baharu kepada ramai anak muda termasuk graduan yang masih mencari pekerjaan tetap.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah mempunyai pekerjaan tetap tetapi melakukan kerja e-hailing secara sambilan bagi menambah pendapatan,” ujarnya.

Menurut beliau, program pertemuan bersama pemandu Grab, Foodpanda dan pekerja penghantaran mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 100 peserta hadir.
“Pada mulanya kita sasarkan 100 peserta sahaja dan pendaftaran melalui Google Form juga terpaksa ditutup lebih awal apabila jumlah pendaftaran melebihi sasaran.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini, sedikit sumbangan yang diberikan kepada mereka adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pemandu e-hailing,” jelasnya.
Tambah Ariffin, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan penting pemandu e-hailing dan penghantar makanan sebagai sebahagian daripada sektor ekonomi yang semakin berkembang dan menjadi gaya hidup masyarakat masa kini.

"Tapi kalau kita buat sungguh-sungguh ini, insyaAllah mereka dapat meneruskan kehidupan mereka. Bukan sahaja mereka hanya bergantung pada kerja makan gaji tapi boleh buat sebenarnya kerja begini," katanya.
Tag :